Easy Blog Tricks


camarputih06@gmail.com..

tinggalkan link blog anda di bawah untuk di masukkan dalam list blog CamarPutih..Linkkan juga blog Camar Putih di blog anda.

jom merapu di sini

Followers

22.6.09

GAMIS : UMPAMA ANAK BERGUSI MENGAJAR AYAH BERGIGI BERCAKAP!



Sebagai permulaannya, saya rasa tidak salah andai saya juga turut menyatakan pandangan walaupun saya tahu pandangan dari budak hingusan seperti saya umpama “makan nasi, kenyang tidak terasa”.

Namun sebagai menyahut pendekatan semasa yang menyaksikan pentas mahasiswa kembali rancak dengan idealisme yang pelbagai, maka saya kira apalah salahnya andai saya juga turut bersuara secara kecil-kecilan.

Pengalaman ‘biasa-biasa’ ketika di alam kampus DQ, turut membawa saya mengenali sebuah pertubuhan yang di kenali sebagai Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia ( GAMIS ) dengan lebih dekat.

Lebih dari itu, saya juga turut berpeluang bekerja dengan GAMIS serta berkenalan dengan pimpinannya secara lebih rapat siapa mereka.

Mereka memang hebat!

Saya amat mengagumi keprofesionalan gaya gerak kerja yang di tonjolkan. Mereka juga turut di kurniakan oleh Allah dengan berbakul-bakul idealisme yang pelbagai dan sentiasa ‘baru’.

Dan ketika ini, amanah terus di berikan kepada kepimpinan GAMIS yang lepas bagi membawa GAMIS ke pentas mahasiswa yang lebih gemilang setaraf gerakan KAMMI di Indonesia.

Maka tidak hairanlah, dewasa ini GAMIS sentiasa melontarkan idea-idea yang sentiasa menggegarkan pemikiran mahasiswa dan tidak terlepas politik tanah air sendiri terutama PAS.

Kerdil rasanya untuk saya cuba melontarkan pandangan mengenai apa yang di timbulkan oleh GAMIS itu sendiri.

Namun, apabila saya terbaca artikel yang di tulis oleh Presiden GAMIS berkenaan minatnya terhadap mereka-mereka yang mempunyai pemikiran yang kritikal, maka saya rasa apa salahnya andai saya ‘mengkritikalkan’ pandangan saya berkenaan idea-idea GAMIS yang saya rasakan bukan lagi bersifat kritikal, tetapi ‘sudah terlampau kronik’!

Masakan tidak saya mengatakan sedemikian rupa, bilamana GAMIS melontarkan cadangan ‘gila’ dengan menyarankan agar Dewan Ulama’ PAS di ‘hapuskan’ dan membuat kritikan yang hebat bilamana usul untuk mengharamkan SIS yang di usulkan oleh PAS kawasan Shah Alam di terima tanpa bahas.

Dan akhirnya, bilamana di tegur oleh Abang Mior Isfandy ( bekas aktivis GAMIS ) GAMIS kemudian membuat permohonan maaf dan menjelaskan apa yang cuba mereka cadang dan bawakan.

Sebenarnya saya hairan, kenapa di permulaan ketika mana ‘idea gila’ tersebut di lontarkan, tidak di selidiki terlebih dahulu dan dinyatakan secara terang-terangan akan apa yang hendak di maksudkan.

Bukankah idea tersebut mengundang kekeliruan kepada ahli-ahli bawahan di seluruh kampus di tanah air dengan apa yang telah di cetuskan.

Dengan menjelaskan agar Dewan Ulama’ PAS di ganti dengan nama yang lain membuatkan sekali lagi saya pelik dan hairan.

Ada apa kesalahan andai dewan tersebut di sandarkan kepada kalimah yang hebat iaitu ‘Ulama’ yang mana kalimah tersebut juga di sebut oleh Allah di dalam al-Quran.

Apa yang tidak kenanya dengan kalimah tersebut?

Saya rasa perkara ini timbul kerana berlakunya persaingan dalam merebut jawatan timbalan presiden PAS yang menyaksikan bertembungnya blok ulama’ dan profesional seperti apa yang di gembar gemburkan.

Dan ia timbul lagi bilamana secara terang-terangan Presiden Gamis menyatakan sokongan beliau terhadap Datuk Hussam.

Bukankah ini adalah satu lontaran yang bersifat berat sebelah?

Jauh daripada itu lagi, adakah ini adalah adab yang sepatutnya di tonjolkan oleh gerakan mahasiswa yang mendakwa mereka adalah gerakan dakwah mahasiswa di tanah air?

GAMIS juga menempelak PAS kerana menyifatkan seharusnya PAS menjadi gerakan dakwah bukan gerakan yang bersifat menghukum dalam isu yang berkaitan dengan SIS yang di timbulkan dalam muktamar PAS baru-baru ini.

Ketua dakwah GAMIS juga turut menyatakan kekesalan akan sikap PAS dalam isu SIS ini dengan menyatakan PAS gagal melahirkan ‘Ahmad Deedat’ dalam mendepani gerakan faminisme ini.

Pada saya, GAMIS itu sendiri yang perlu di persalahkan. Mereka yang sepatutnya mendepani golongan seperti SIS itu sendiri serta melahirkan kader-kader mahasiswa yang hebat bagi mematahkan hujjah-hujjah golongan faminisme tersebut.

Bukan sekadar pandai menunding jari dan mencipta provokasi dan kontroversi!

Lebih hebat takkala ini bilamana GAMIS menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan timbalan presiden PAS dan setiausaha agung PAS pusat berkenaan isu UG yang hangat dewasa ini.

Pada saya, orang yang sepatutnya mereka cabar untuk berdebat adalah presiden PAS sendiri yang mana beliau sendiri yang mencadangkan idea UG, bukan kedua-dua tokoh tersebut!

Malah tidak salah andai saya katakan, kenapa begitu sombong dan ego GAMIS mencabar kedua-dua orang tokoh tersebut untuk berdebat secara terbuka bukan dengan secara berbincang dan bertanya dengan penuh tatasusila sebagai gerakan mahasiswa yang mendakwa diri mereka gerakan dakwah!

Apakah GAMIS hendak mencipta politik murahan dengan sengaja melontarkan idea-idea yang ‘boom’ bagi menyatakan kepada orang ramai terutama kepada golongan mahasiswa bahawa ‘ jangan bermain api dengan GAMIS ’?

Apakah budak yang baru tumbuh gusi mengira dengan mereka sudah pandai berkata, maka si ayah perlu di ajar untuk bercakap dengan betul?

Dan sehingga tulisan ini di tulis, isu yang berkaitan UG dan kenyataan kontroversi yang di cetuskan oleh TGNA terhadap Ustaz Nasharudin telah selesai dengan suasana yang penuh mahabbah.

Maka, apakah tindakan GAMIS untuk terus mendabik dada dengan terus mendesak agar di adakan EGM dan mendesak pemilihan timbalan presiden PAS di adakan semula?

Saya tidak sabar menunggu kenyataan daripada gerakan mahasiswa yang hebat ini!

Bagi saya, saya berpandangan adalah lebih baik GAMIS menumpukan gerak kerja mereka kepada kerja-kerja yang bersifat dakwah dan islah secara total tanpa menyisihkan siasah kampus yang menjadi tunjang gerakan tersebut.

Bukankah terlalu banyak untuk di senaraikan!



Bukan meniru PKPIM mahupun ISMA, tapi itulah hakikat sebenar yang saya nampak andai GAMIS terus menerus mencipta polemik seperti sekarang ini, lama kelamaan mereka yang baru hendak berjinak mengenali GAMIS akan menjauhkan diri kerana menyifatkan GAMIS hanya pandai berpolitik dan bercakap sahaja, tetapi segalanya kosong dan ‘hampeh’!

Kerja dakwah cukup banyak. Sepatutnya GAMIS lah yang mendahului gerakan mahasiswa yang lain seperti PKPIM dan ISMA dalam mendepani masalah-masalah sosial yang semakin kronik dan membimbangkan.

Mungkin ada di kalangan pendokong GAMIS akan menyatakan, bahawa mereka juga menggalas dan membuat gerak kerja yang bersifat dakwah dan islah, tapi tidak di tonjolkan.

Pada saya, andai kontroversi yang bersifat politik ini boleh di tonjolkan, mengapa tidak gerak kerja dakwah dan islah tidak di pamerkan dan di promote besar-besaran?

Itu yang sepatutnya!

Malah saya pernah berbual dengan aktivis GAMIS yang mengeluh kerana sukarnya membuat program di sebabkan sukarnya mendapat ajk yang boleh memberi komitmen sepenuhnya.

Adakah GAMIS tidak nampak bahawasanya tugas mereka juga untuk mencipta pelapis bermula dari sekolah menengah lagi?

Mereka yang sepatutnya menguasai sekolah-sekolah menengah dengan menjadikan setiap kampus yang di kawasannya mempunyai sekolah menengah sebagai ‘anak angkat kampus’ masing-masing.

Saya yakin, andai kerja ini di laksanakan secara terus menerus dan penuh kesabaran serta penuh komited, 2 atau 3 tahun akan datang GAMIS tidak akan ketandusan pemimpin mahupun ahli serta penyokongnya di kalangan mahasiswa di dalam mahupun di luar.

Memang akan ada orang berkata, ‘ senang la bercakap ‘, dan saya nyatakan di sini memang mudahpun untuk bercakap, semudah GAMIS mencadangkan ‘di hapuskan dewan ulama’ PAS, PAS gagal melahirkan Ahmad Deedat untuk mendepani golongan SIS, mendesak di adakan pemilihan semula timbalan presiden PAS serta di ajak berdebat dengan pimpinan tertinggi PAS, bukankah GAMIS juga mudah mengeluarkan kenyataan walaupun pada hakikatnya mereka tahu ia satu benda susah untuk di laksanakan?

Maka GAMIS seharusnya bermuhasabah dan kembali ‘cek’ diri sendiri, dari awal permulaan penubuhannya sehingga kini, setakat mana sumbangan mereka terhadap masyarakat terutama mahasiswa itu sendiri.

Andai tidak, saya bersetuju dengan pandangan Pemuda PAS Perak, bahawa GAMIS itu sendiri yang sepatutnya ‘di hapuskan’ kerana gagal berfungsi dengan sebaik yang mungkin!

‘Maka, bila sudah pandai berjalan, usah melihat orang lain yang jatuh, tidak pandai berlari !’

10 comments:

ahli GAMIS said...

semua cadangan mengarut itu bukan daripada GAMIS, tetapi hanya pandangan peribadi presidennya dan perkara ini telah ditarik balik oleh beliau..sebagai seorang yang profesional, harap saudara tidak lagi membangkitkan perkra yang telah selesai.

Anonymous said...

saya rasa enta paling layak jadi presiden gamis. bekas amir DQ.
tapi sayang, enta blajar oversea.

wearelearningparents said...

kenyataan peribadi drp presiden gamis, telah disusulkan dgn permohanan maaf.

senang utk jumpa manusia pengkritik, ttp susah utk berjumpa dgn manusia pencadang...

moga istiqamah dlm perjuangan

Nurhaslin Zaharudin said...

salam

saya berbeza pendapat dengan saudara dalam hal ini.

Apapun, saudara punya pegangan sendiri.

Malah, GAMIS dah mohon maaf pun.

Anonymous said...

NTA CKAP LEBAT..SUKA SGT CIPTA KONFLIK...NTA NAK PUBLISITI KE?

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid said...

ana setuju dgn 'ahli GAMIS'..
banyak siri perbincangan dan sembang2 ana dgn bbrpa pimpinan pas, jpm n gamis sndiri..
gamis jangan disalahkan..
halatuju n matlamatnya jelas..
salahkan orang yg melontar idea..
tajuk nta kurang tepat..
'ala kulli hal, semua org buat salah..
smg kita terus istiqamah dalam jalan ini..amin

rauf said...

Kita yang kat oversea ni sekali baca memang menyirap je rasanya..

tapi; buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.. :)

walau bagaimanapun; tak setuju tu(dgn kenyataan peribadi tu), tetap tak setuju lah..

Anonymous said...

fkirkan jg ksan jangka pnjg dari pnulisn saudra.bmbang ad yg mmbaca tulisn saudra akn trus mmndg ngatif pd gamis.padahl ianya hnya pndgn pribadi.

Abu Bakar said...

Salam.Ana setuju dgn tulisan nta.

Unknown said...

Teruskan dengan pandangan dan teguran... ana suka keberanian ahli gerakan Islam dalam menyatakan pendapat... lebih2 lagi bila disertakan penawaran solusi yg bernas...

Sudah pasti bkan dengan emosi, tp, dengan kewarasan aqal dan keikhlasan untuk sama-sama menuju tujuan yg satu mengangkat martabat ISLAM...

Setiap pandangan, pasti ada sebabnya, setiap tindakan pasti ada matlamatnya, semua pihak berhak berpancak di lapangan masing-masing, semua kita sayangkan Islam, pandang dengan mata hati... sirru ala barokatillah... mohon tunjuk ajar dr akhi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...