Easy Blog Tricks
camarputih06@gmail.com..tinggalkan link blog anda di bawah untuk di masukkan dalam list blog CamarPutih..Linkkan juga blog Camar Putih di blog anda.
jom merapu di sini
Followers
20.6.09
LUAHAN HATI BUAT TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Dipetik dari Tranungkite.
Dihantar oleh Rusly_Islam.
Dengan Nama Allah Yang Pengasih Lagi Maha Penyayang
Assalamu’alaikum warahmatullahi Wabarakaatuh
Saat saya menulis untuk meluahkan hati tika ini, saya tidak tahu Tuan Guru berada dimana. Tapi, jauh disudut hati saya tetap berkata Tuan Guru akan membaca surat terbuka ini kerana saya tahu Tuan Guru adalah seorang yang rajin membaca dan sensitif dengan perkembangan Harakah Daily.
Jadi, saya utuskan surat terbuka ini selepas saya hiba dengan keadaan PAS pada hari ini.
Tuan Guru yang dihormati,
Saya anak muda yang berada dalam PAS untuk memperjuangkan Islam. Dari sekolah menengah saya mengenali PAS. Saya kenal bukan melalui usrah. Saya kenal bukan melalui pimpinan PAS.
Tapi, saya kenal PAS ketika saya bergembira menaiki lori menggantung bendera PAS ditiang-tiang lampu dan pokok-pokok. Saya meminati PAS selepas saya diminta membawa uncang-uncang duit untuk memungut derma ketika ceramah PAS berdekatan dengan sekolah saya.
Ma’ahad saya uzur. Pelajar-pelajarnya pada waktu itu tidaklah sebijak rakan-rakan lain yang berada di SMKA, Sekolah Agama Kerajaan Negeri mahupun di Kolej Islam.
Tapi, bila saya kenang sekolah itu, saya yakin di tanah itulah Allah memberkati orang-orang yang menuntut ilmu keranaNya. Disitulah Almarhum Abu Bakar Al-Baqir berpangkalan untuk memperjuangkan Islam.
Sehinggalah saya berazam mengiltizamkan diri dengan perjuangan yang suci ini ketika saya di bangku universiti. Hari ini pun saya masih lagi belajar memahami dan bekerja untuk memaknakan perjuangan Islam ini.
Ketika Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat ke-50 baru-baru ini, saya telah membeli sebuah buku yang dikarang oleh Riduan Md Nor. Buku mengenai kisah hidup Tuan Guru. Saya ralit membaca buku itu kerana saya berasa tenang dengan peribadi dan ketokohan Tuan Guru seperti yang digambarkan.
Saya turut mengikuti Ucapan Dasar Presiden selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-55 malah saya baca berulang-ulang kali untuk menjiwai intipati ucapan itu. Apa yang saya dapat rumuskan ialah hanya Islam yang akan menyelesaikan masalah manusia terutamanya di Malaysia ini.
Tidak ada walau satu masalah pun yang tidak boleh ditangani oleh Islam sebagai agama Allah. Alhamdulillah atas nikmat Iman dan Islam ini. Saya yakin! Sebelum muktamar hati saya sedih melihat pimpinan PAS. Saya tidak mahu ceritakan mengapa saya sedih sebab saya tidak tahu siapa yang paling benar pada percakapannya.
Tetapi, semuanya ini berlaku kerana ungkapan Tuan Guru mengenai Kerajaan Perpaduan. Sebahagian pimpinan mengatakan Tuan Guru tidak cerdik politik. Sebilangan yang lain menegaskan Tuan Guru berjiwa besar bak Sang Negarawan. Hanya Allah Maha Mengetahui hati-hati mereka yang ikhlas memperjuangkan agama Allah ini.
Media pula menggembar-gemburkan pelbagai isu yang keluar dari setiap bibir pimpinan PAS. Bukan sekadar media perdana, bahkan media alternatif. Sehinggakan yang tulen menjadi kabur, terang berubah gelap.
Tuan Guru yang disegani,
Saya yakin ramai lagi ahli seperti saya gundah melihat perkembangan ini. Tambahan lagi, apabila pandangan Tuan Guru Nik Aziz sering bercanggah dengan Tuan Guru. Bahkan, media melaporkan Tuan Guru Nik Aziz sebut boneka UMNO dalam PAS yang ingin menjual Parti Islam ini kepada Parti Nasionalis. Sedih. Saya benar-benar sedih. Benarkah ada orang-orang ini dalam parti yang mulia ini?
Saya percaya Tuan Guru sudah menerangkan berkali-kali mengenai Kerajaan Perpaduan. Hari ini, saya membaca tulisan Wan Abdul Rahman, Pengarah Penyelidikan PAS mengenai idea politik tersebut. Segar hati saya. Apa yang saya faham adalah Kerajaan Perpaduan bukan tahalluf siyasi antara PAS dan UMNO.
Tetapi, PAS membuka pintu rundingan dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan krisis politik, ekonomi dan kebejatan rakyat yang melanda negara. PAS mahu mengajak UMNO, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan asalkan meletakkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai tunjang. Mesti Islam sebagai asas pembentukan.
Tuan Guru Yang Dikasihi,
Saya merayu pada Tuan Guru, bertemu matalah dengan Tuan Guru Nik Aziz. Saya tahu Tuan Guru seorang yang setia. Malah, apa yang saya dengar, Tuan Guru akan berpeluk dan mencium dahi Tuan Guru Nik Aziz bila bertemu. Bermuqabalah dan bermuzakarahlah dengan beliau. Saya sendiri melahirkan rasa terkilan apabila kenyataan beliau terlalu keras seperti pemimpin yang tidak pernah maklum mengenai Kerajaan Perpaduan.
Hanya Tuan Guru yang boleh menasihatinya. Leraikanlah kekusutan beliau. Saya mohon sebagai pemimpin yang besar jiwanya, bertemulah dengan Dato’ Husam Musa. Bincanglah dengan dia mengenai perkara ini dan dapatkanlah kata sepakat.
Walaupun beliau adalah AJK PAS Pusat, sebagai pemimpin yang dihormati, Tuan Guru akan terus bersemuka untuk menyelesaikan polemik bersama. Itu adalah cara yang terbaik untuk seorang AJK menghargai dan memahami siapa sebenar dirinya.
Saya juga berharap kepada Tuan Guru untuk memanggil semua komponen parti Pakatan Rakyat. Beritahulah kepada mereka bahawa Kerajaan Perpaduan ini bukan perkongsian kuasa antara PAS dan UMNO. Saya benar-benar memahami bahawa PAS tidak akan mengkhianati persahabatan ini meskipun mereka seringkali membuat PAS sedih.
Tuan Guru kena buktikan bahawa betapa mulianya sifat pemaaf dan ibrah disebalik Sahifah Madinah. Saya yakin Tuan Guru seorang perunding politik yang hebat. Tuan Guru berilah nasihat yang lembut kepada pemimpin UMNO, MCA dan MIC bahawa Kerajaan Perpaduan bukan antara PAS dan UMNO sahaja.
PAS akan berbincang dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan negara walaupun dengan parti politik yang kecil. Inilah jiwa Tuan Guru yang besar tetapi seringkali disalahertikan dengan propaganda musuh.
Tuan Guru Yang Dimuliakan Allah,
Seringkali saya berfikir bahawa Tuan Guru sentiasa bermunajat kepada Allah untuk memandu diri dalam setiap saat. Saya kagum dengan kenyataan Tuan Guru ketika meletakkan YB Abdul Wahid Endut sebagai calon di Kuala Terengganu meskipun ramai berpendapat pemimpin-pemimpin yang lain adalah lebih layak.
Kenyataan Tuan Guru melegakan hati apabila Tuan Guru menyebut bahawa ini adalah ilham dari Allah. Saya juga berpendapat begitu. Walaupun idea Kerajaan Perpaduan ini dicemuh, diremeh malah dipertikai oleh sebahagian yang lain, namun Tuan Guru teruskan niat yang mulia ini.
Hati kecil saya sentiasa beringat bahawa Tuan Guru mendapat petunjuk dan ilham dari Allah. Sudah pasti petunjuk Allah itu benar walaupun ujiannya berat dan pedih. Tuan Guru, idea revolusi itu selalunya lewat untuk dicernakan. Mungkin Tuan Guru akan meninggalkan idea ini dalam legasi politik PAS dan Malaysia.
Tidak mustahil ia akan diungkap kembali dari generasi kepimpinan PAS yang lain dan pada waktu itulah gagasan politik ini akan menjadi satu realiti yang sangat mahal harganya. Inilah hikmatullah yang mulia. Hanya optimis dan positif melatari perjuangan Islam ini.
Tuan Guru Yang Dikagumi,
Saya hanya aktivis PAS yang menghiasi persada perjuangan ini. Tuan Guru adalah inspirasinya. Saya memohon maaf andaikata surat terbuka ini tidak memberikan apa-apa makna buat semua.
Tapi inilah rayuan saya.
Inilah luahan saya setelah beberapa kali menangis dihadapan Allah. Tidak ada apa-apa yang saya ingin lafazkan lagi melainkan saya mencintai Tuan Guru kerana Allah Ta’ala. Saya berbai’ah dengan Allah dan Rasul serta Tuan Guru bahawa saya mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam yang mulia ini.
Doakanlah saya agar tsabat dan istiqamah hingga syahid bertemu Rabbul ‘Izzati. Maafkan saya Tuan Guru. Maafkan saya. Moga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada Sang Murabbi yang saya cintai. Ya Allah, bantulah kami.
Ahmad Fawwaz bin Abdul Aziz
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
glemer betul surat ni...
luahan hati dari pencinta islam..surat ini betul3 bagi kesan bila saya baca
doakan segalanya akan menemui jalan penyelesaian yang terbaik tanpa kemelut yang lebih meresahkan...
Post a Comment