Pembukaan lembaran tahun baru 2010 cukup hangat, sehangit sambutan tahun baru di Dataran Merdeka. Saya yakin dan pasti, sambutannya adalah sama nada dan temponya, bahkan rasanya mungkin lebih agresif di bawah naungan 'Kolonel 1 Malaysia'.
Pintu tahun baru di buka. Haba dan wap jalan cerita tahun 2010 seakan memberi 'hint' akan 'keganasan' yang bakal di lalui oleh umat di Malaysia.
Lihat sahaja prolog awalannya.
Dengan kekuasaan dan kehebatan yang tiada tandingannya, nama ALLAH memulakan cerita. Seakan ada maksud yang tersirat dalam rangkaian cerita yang di lebarkan.
Firman ALLAH :
"...apakah kamu tidak memikirkan? ( di atas apa yang telah berlaku )". surah al-Baqarah; ayat 44.
Lafzu Jalalah riuh di perkatakan seantero kampung di Malaysia. Ah Chong dan Samy di kampung yang hanya tahu sebut 'tuhan Alah', rasanya tentu tertarik-tarik jiwa mereka untuk mengetahui, kenapa agama ikutan mereka berkehendakkan sangat dengan 'kalimah' tersebut.
Menariknya, dengan 'tubik'nya isu ini, mereka yang 'tunggang langgang' di malam tahun baru, turut beraksi dan berpencak di dataran rata!
Maha Hebat dan Maha Mengetahui pemilik 'nama' tersebut!
Jujurnya, saya sebenarnya ingin turut serta dalam perbincangan ini. Sekadar berkongsi pandangan dan pendapat.
Saya kira, andai tulisan ini di baca dengan 'sentimen ilmiah', maka saya menumpang pahala yang di panjangkan bertali arus.
Namun, takkala saya membelek di laman sawang yang lain, banyak tulisan yang di rentakkan bernada pelbagai sentimen.
Perkauman...Dendam Politik...Mengambil Kesempatan..dan pelbagai lagi..
Maka saya fikir, cukuplah sekadar syuro mereka yang ahli dalam isu ini, saya lampirkan di laman sawang ini.
Moga pencerahan awalan yang di nukilkan, bakal meredakan segala 'agenda' yang di caturkan.
....................................................................................................................................................
KENYATAAN RESMI PAS
PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.
PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.
Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.
PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.
Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.
PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.
PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.
No comments:
Post a Comment