Easy Blog Tricks


camarputih06@gmail.com..

tinggalkan link blog anda di bawah untuk di masukkan dalam list blog CamarPutih..Linkkan juga blog Camar Putih di blog anda.

jom merapu di sini

Followers

28.11.10

Perwakilan PKR sangsi JPP ada kuasa bebas siasat aduan!


PETALING JAYA, 27 Nov – Perwakilan PKR Perak Zulkifli Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) meneruskan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan parti itu walaupun selepas berakhirnya kongres nasional esok.

Beliau juga mempersoalkan sama ada JPP mempunyai kuasa penuh tanpa “diganggu” sepanjang menjalankan pemilihan dan aduan yang dikemukakan.

“Saya nak jawapan daripada JPP, adakah JPP mempunyai kuasa penuh tanpa diganggu dalam menjalankan pemilihan?

“Betulkah setiap aduan yang dikemukakan itu disiasat oleh JPP? Sudahkan JPP menyiasat semua aduan yang dikemukakan? Adakah keputusan yang dibuat dimaklumkan kepada pengadu?” soal Zulkifli ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di sini.

Justeru beliau meminta supaya setiap aduan yang dikemukakan terus disiasat.

“Adakah siasatan aduan yang dikemukakan itu akan terhenti selepas kongres atau akan diteruskan? Saya minta supaya ia diteruskan.

“Kita nak bagi contoh kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), jadi kita perlu menunjukkan keadilan dalam pemilihan parti kita.

“Saya tiada kepentingan tapi tolong selesaikan segala masalah yang berbangkit ini,” katanya.

Sepanjang pilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

Setiausaha Agung PKR Saifuffin Nasution Ismail sebelum ini berkata 90 peratus aduan peringkat cabang telah diselesaikan.

Beliau berkata kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan.

Zulkifli juga meminta supaya kepimpinan baru yang dipilih ketika pemilihan dapat menjalankan tanggungjawab dan menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

Beliau juga mahu supaya pemimpin sentiasa turun padang untuk menemui rakyat.

“Pemimpin perlu turun padang jumpa rakyat, ini nak hubungi pun susah,” katanya.

Dalam ucapan dasar pagi tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menafikan cubaan pertama parti itu mengadakan pemilihan bagi kepimpinannya mempunyai kelemahan.

Namun begitu, beliau turut mendakwa pemilihan itu telah mencapai matlamatnya dengan lebih 70,000 anggota parti keluar mengundi pada pemilihan peringkat cabang dan pusat.

Beliau mengakui dalam proses pemilihan ini, kepimpinan parti itu banyak menerima aduan dan rungutan.

“Kita juga tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya. Kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakan-rakan kita sendiri,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditemui pada sidang media, Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin bahawa anggota parti itu akan mampu bersatu selepas pemilihan parti yang bermasalah dan menerima publisiti yang buruk.

“Kita yakin kita akan bersatu hari ini. Kita teruskan dengan pemilihan kerana kita tahu bahawa dalam mana-mana pertandingan, ada yang menang dan kalah.

“Jadi apapun keputusannya, kita mampu bersatu,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau menjawab soalan sama ada anggota parti akan merapatkan barisan berikutan pemilihan parti yang berakhir baru-baru ini yang dicemarkan dengan dakwaan mengenai manipulasi dan penyelewengan yang menyaksikan Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden berhubung penyelewengan dalam pencalonan.

Sejak itu Zaid mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan satu parti baru pada Januari tahun depan.

Wan Azizah berkata usaha sedang dilakukan bagi membetulkan keadaan itu.

Mengenai demonstrasi oleh beberapa anggota parti sebelum kongres itu bermula hari ini, Wan Azizah berkata sebelum ini rungutan kumpulan itu telahpun dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

“Ia mengambil sedikit masa. Saksi perlu dipanggil untuk memberi kenyataan dan proses itu mengambil masa,” katanya.

Kira-kira 100 orang yang mendakwa anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di depan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini di mana berlangsungnya Kongres Nasional Tahunan PKR hari ini.

Ia diketuai bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pemilihan PKR dari peringkat cabang hingga peringkat pimpinan pusat.

Kottapan, yang sebelum ini adalah calon Ketua Cabang PKR Kota Raja, mendakwa bahawa walaupun beberapa surat bantahan telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) namun tiada tindakan diambil.-TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...