Easy Blog Tricks


camarputih06@gmail.com..

tinggalkan link blog anda di bawah untuk di masukkan dalam list blog CamarPutih..Linkkan juga blog Camar Putih di blog anda.

jom merapu di sini

Followers

14.5.09

SYAHIDAH SEBUAH CINTA..


Angin bayu Maqam Arba’in lembut menyapa raut wajah Aiman. Jauh di sudut hatinya, Aiman menyimpan seribu satu pendaman yang amat sukar untuk ditafsirkan. Segala yang berlaku menyimpan sejuta hikmah tarbiah dari Ilahi buat Aiman.

Pemergian Athirah Humaira’ dalam satu nahas kemalangan teramat perit buat Aiman menerimanya. Dugaan dan ujian yang menguji jiwa pemuda Islam ini, sesekali merengut perasaan basyariahnya. Namun, segalanya dipujuk oleh bisikan keimanan yang sekian lama bertapak di sanubarinya.

Segala persiapan untuk majlis raja sehari yang diimpikan oleh Aiman kini hanya tinggal kenangan abadi buatnya. Aiman pasrah. Jodoh dan ajal segalanya di tangan Ilahi. Gadis arab Syria yang menjadi pilihan istikhorohnya, terlebih dahulu Allah menjemputnya. Allah jualah yang mengetahui akan aturan yang disusun sejak azali lagi.

Aiman tegar melayan perasaannya. Hatinya kini miliknya kembali.

“ Moga Allah tempatkan dikau di kalangan syahidah yang diredhoiNya”.

………………………………………………………………………………………………………………………………

“ Aiman, ana tengok anta dengan Syeikh Mahmud cukup rapat. Macam anak beranak la pulak. Macam mana anta boleh rapat dengan Syeikh Mahmud?,” tanya Said, teman akrab Aiman sejak dari bangku sekolah menengah lagi.

Aiman tersenyum mendengar soalan daripada sahabat karibnya. Petang itu Aiman bersama Said bersiar-siar di Suk Hamidi, pasar yang terbesar di Dimasyq, yang menyajikan kepelbagaian barang-barang yang boleh membuatkan ramai orang rambang mata memilihnya.

“ Nak cakap macam mana ye kat anta. Cerita mudahnya, bapa saudara ana kenalan rapat dengan Syeikh Mahmud ketika belajar disini dahulu. Jadi sewaktu ana bercadang hendak menyambung pengajian di Syria, bapa saudara analah yang mencadangkan dekat ana nama Syeikh Mahmud sebagai tempat rujukan.

Alhamdulillah, selama hampir 4 tahun ana berkelana di bumi Dimasyq, Syeikh Mahmud banyak menolong ana dari pelbagai sudut terutamanya dari sudut kehidupan dan pengajian di sini.

Kebetulan pulak waktu ana mula-mula sampai dekat Syria, Ma’ahad Fatah di bawah seliaan Syeikh Mahmud. Anta pun tahu kan yang Syeikh Mahmud ni salah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin dekat sini. Jadi, ana bersyukur sangat dapat menerima tarbiah secara langsung di bawah asuhan beliau. Walaupun Ma’ahad Fatah kini dirampas secara zalim oleh kerajaan, tapi Syeikh Mahmud tak pernah berganjak dari prinsipnya.

Segalanya cukup bermakna bagi ana. Ana bersyukur sangat-sangat di sebabkan Allah menemukan ana dengan Syeikh Mahmud”, cerita Aiman panjang lebar kepada sahabat karibnya.

“ Alhamdulillah, Allah mengurniakan satu nikmat yang cukup berharga pada anta”, puji Said.

Sambil tersenyum, Said kembali menyambung percakapannya.

“ Cumanya ana rasa ada satu anugerah tersembunyi yang masih anta tak perasan. Ana tak tahu la samaada anta tak perasan ke atau anta buat-buat tak perasan”.

“ Ai, pelik je bunyi ayat anta ni. Sejak bila pandai berbelit-belit ni”, gurau Aiman secara sinis.

“ Hurmm…anta ni, buat-buat tak faham la pulak. Tak salah ana, Syeikh Mahmud ada anak perempuan kan. Tak salah ana juga, dia pun belajar dekat Ma’ahad Fatah. Jadi Ustaz Mohd Aiman, tak kan la tak nak cuba menyunting bunga di halaman yang dikelilingnya dihiasi dengan tarbiah IM”, madah Said secara berjenaka.

Aiman tertawa dengan madah jenaka sahabatnya.

“ Ustaz Mohd Said, siapa la ana ni. Ana ni sekadar musafir jalanan. Tak punya harta, jauh pula dari segi rupa. Lagipun, ana tak pernah bermimpi hendak beristerikan anak Syeikh, lebih-lebih lagi Syeikh Mahmud.”

“ Ala, macam ana tak kenal anta. Ana tahu anta masih teringat lagi Allahyarhamah Athirah Humaira’ kan? Hampir setahun dia pergi. InsyaAllah ana yakin, segala yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin nanti, Allah akan datangkan dengan jodoh yang lebih baik dan solehah. Siapa tahu”, motivasi Said pada sahabatnya.

“ Eh, jom kita solat dekat Jami’ Umawi, lepas tu ana belanja anta makan Ruz Mandi”.
Aiman mematikan tajuk perbualan mereka dengan segera. Dia enggan mengimbau sejarah yang hampir dikuburkan di dasar hatinya.

Said yakin yang Aiman masih tidak dapat melupakan Allahyarhamah tunangnya. Persahabatan dari sejak bangku sekolah sehingga sekarang, cukup memasakkan Said akan sikap Aiman.

Namun Said tetap kagum dengan sahabatnya. Aiman seorang yang tabah.

.……………………………………………………………………………………………………………………………….

Selepas bertalaqqi kitab dengan Syeikh Mahmud, seperti kebiasaannya Aiman akan berbual sambil bersoal jawab dengan Syeikh Mahmud tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama. Syeikh Mahmud juga tidak lokek berkongsi pengalaman hidupnya, terutama sekali segala peristiwa yang berkait diantara beliau dengan IM.

Aiman adalah tholib ilmi yang juhud. Akhlak dan pekerti beliau membuatkan sesiapa pun senang berbual dan bermuamalah dengannya. Kelebihan inilah yang membuatkan Syeikh Mahmud turut menyayangi Aiman.

Harapan Syeikh Mahmud hanyalah satu. Biarlah Aiman menjadi sebahagian daripada ahli baitnya!

“ Aiman, bila kamu akan khirij dari Ma’ahad Fatah?”, soal Syeikh Mahmud secara tiba-tiba.

“ InsyaAllah, andai diizinkan oleh Allah, saya akan khirij dalam bulan 6 ni. Dan seandai diizinkan olehNya juga, saya akan pulang ke Malaysia selepas segala urusan Haflah Takharruj dan yang lain-lain selesai. Doakan kepada saya agar segalanya berjalan dengan lancar ya Syeikh!”, tutur Aiman dengan penuh beradab.

“ Engkau memang selayaknya”. Bisik Syeikh Mahmud sendirian.

“ Aiman, Allah ada berfirman dalam QuranNya yang maha agung, seorang muslim yang baik adalah untuk seorang muslimah yang baik, begitulah sebaliknya.

Lantas Allah menciptakan Hawa sebagai pendamping kepada Adam. Allah jualah yang menggandingkan diantara Zulaikha dan Yusuf a.s. Dan Allah jualah yang mencampakkan nilai sebuah cinta kepada Siti Aisyah untuk Muhammad s.a.w.

Bukankah segalanya adalah satu tarbiah yang cantik oleh Allah kepada kita, wahai anakku Aiman?”

Aiman masih kurang jelas akan maksud yang ingin disampaikan oleh Syeikh Mahmud kepadanya.

“ Maaf Syeikh, saya masih kurang jelas akan maksud yang ingin Syeikh sampaikan”.

Sambil tersenyum, Syeikh Mahmud lantas menyambung bicaranya.

“ Wahai anakku yang amat aku sayangi, andai tanpa tarbiah dalam sebuah keluarga, maka tidak akan lahirlah syuhada’-syuhada’ islam yang berani mengatakan yang hak itu hak dan yang batil itu batil.

Maka asbab diantara lahirnya as-syahid Hassan al-Banna dan as-syahid Syed Qutb serta mereka-mereka dari kalangan IM itu sendiri adalah disebabkan terbinanya Bait Muslim dengan jalan yang ma’ruf.

Tarbiah dari seorang ayah dan ibu kepada anak-anak itulah yang melahirkan seorang manusia yang bernama as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-syahid Dr Rantisi.

Tidaklah dapat seorang ayah dan ibu itu memberi tarbiah kepada anak-anaknya andainya mereka juga tidak dahulu menerima tarbiah”.

Sambil menghela nafas, Syeikh Mahmud menyambung kembali.

“Usiaku semakin meningkat. Mungkin hari ini atau esok aku akan kembali kepadaNya. Begitu juga dengan Ummi mu Aiman.

Alhamdulillah, Ahmad Ubaidillah telah bertemu jodohnya dengan pendamping yang baik. Aku teramat bersyukur kerana jodohnya adalah dikalangan mujahidah yang solehah.

Cumanya aku tak pasti dengan siapakah jodoh yang telah ditentukan oleh Allah kepada anak perempuanku, Syahidah Solehah”.

Aiman tenang mendengar penjelasan dan luahan daripada Syeikh Mahmud. Untuk kesekian kalinya, Syeikh Mahmud memberi petunjuk kepada Aiman dengan penuh nilai tarbiah.

Petiklah bunga ditaman tarbiah secara hak.

…………………………………………………………………………………………………………………………….

Hampir seminggu Aiman beristikhoroh. Segalanya dipohon kepada Allah. Aiman pasrah. Hanya Dialah yang mengetahui manakah yang terbaik buat hambanya.

“ Ya Allah ya tuhanku yang menguasai sekelian alam semesta..tidak terlelap akan mataku seandainya engkau berkeinginan sedemikian..tidaklah aku punyai kudrat untuk mengabdikan diri di malam hari seandainya tidak diizinkan oleh engkau ya Allah..

Ya Rabbul Izzati..di malam hari yang penuh keheningan ini, aku memohon petunjuk kepadamu..Berikanlah hidayah dan jalan keluar kepada hambaMu yang teramat dhoif ini..

Tunjukkanlah jalan yang terbaik untuk pilihan jodohku..Engkau jualah yang mengetahui akan segala yang tersirat disebalik yang tersurat..

Ya Rahman ya Rahim..Seandainya Syahidah Solehah adalah jodohku, yang akan menyejukkan mata dan hatiku, yang akan membantuku ketika aku berjuang, yang akan bakal melahirkan pejuang-pejuang untuk agamaMu, dan yang akan bersamaku di hari akhirat kelak, maka ya Allah..dekatkanlah hatinya dengan hatiku..

Dan seandainya dia bukanlah jodohku yang engkau redhoi, damaikanlah hatiku ini dengan ketentuanMu itu..

Hanya padaMu segalanya aku memohon..Ya Allah..”


bersambung.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...