KUALA LUMPUR: “Saya bergegas ke sini sebaik dimaklumkan ada sumbangan beras untuk golongan miskin tapi hampa dimaklumkan bantuan itu sudah habis dan hanya diagihkan semula bulan depan,” rintih seorang wanita dikenali sebagai Ramlah, 52, yang kecewa selepas bantuan makanan yang diagihkan di kaunter bantuan dan kecemasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) habis.
Menurutnya, bukan dia seorang, malah ramai lagi yang senasib dengannya yang terpaksa pulang tangan kosong. “Tidak tahu lagi apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkan bantuan menjelang hari raya ini,” katanya.
Dia berkata, dia menunggu di kaunter bantuan dan kecemasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 10 pagi untuk mendapatkan makanan dan beras yang diagihkan percuma kepada kepada golongan miskin.
Sebaik gilirannya tiba, katanya, petugas di kaunter itu memberitahunya bahawa makanan dan beras yang diagihkan sudah habis dan perlu datang semula September untuk mendapatkannya.
“Rasa sedih juga kerana tidak dapat makanan itu. Saya tinggal sendirian di Cheras dan apabila jiran memberitahu MAIWP memberikan beras percuma, saya terus datang, malangnya, ia sudah habis sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Harian Metro yang melakukan tinjauan selama dua hari di kaunter bantuan dan kecemasan MAIWP pada minggu terakhir Ramadan mendapati orang ramai khususnya gelandangan memenuhi kaunter yang terletak di tingkat bawah kompleks itu untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.
Pelbagai ragam orang ramai untuk mendapatkan bantuan makanan, kecemasan dan waran tiket dapat dilihat dengan sesekali berlaku pertikaman lidah dengan petugas di kaunter terutama yang gagal mendapatkan bantuan disebabkan pelbagai alasan.
No comments:
Post a Comment