Easy Blog Tricks


camarputih06@gmail.com..

tinggalkan link blog anda di bawah untuk di masukkan dalam list blog CamarPutih..Linkkan juga blog Camar Putih di blog anda.

jom merapu di sini

Followers

28.11.10

Perwakilan PKR sangsi JPP ada kuasa bebas siasat aduan!


PETALING JAYA, 27 Nov – Perwakilan PKR Perak Zulkifli Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) meneruskan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan parti itu walaupun selepas berakhirnya kongres nasional esok.

Beliau juga mempersoalkan sama ada JPP mempunyai kuasa penuh tanpa “diganggu” sepanjang menjalankan pemilihan dan aduan yang dikemukakan.

“Saya nak jawapan daripada JPP, adakah JPP mempunyai kuasa penuh tanpa diganggu dalam menjalankan pemilihan?

“Betulkah setiap aduan yang dikemukakan itu disiasat oleh JPP? Sudahkan JPP menyiasat semua aduan yang dikemukakan? Adakah keputusan yang dibuat dimaklumkan kepada pengadu?” soal Zulkifli ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di sini.

Justeru beliau meminta supaya setiap aduan yang dikemukakan terus disiasat.

“Adakah siasatan aduan yang dikemukakan itu akan terhenti selepas kongres atau akan diteruskan? Saya minta supaya ia diteruskan.

“Kita nak bagi contoh kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), jadi kita perlu menunjukkan keadilan dalam pemilihan parti kita.

“Saya tiada kepentingan tapi tolong selesaikan segala masalah yang berbangkit ini,” katanya.

Sepanjang pilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

Setiausaha Agung PKR Saifuffin Nasution Ismail sebelum ini berkata 90 peratus aduan peringkat cabang telah diselesaikan.

Beliau berkata kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan.

Zulkifli juga meminta supaya kepimpinan baru yang dipilih ketika pemilihan dapat menjalankan tanggungjawab dan menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

Beliau juga mahu supaya pemimpin sentiasa turun padang untuk menemui rakyat.

“Pemimpin perlu turun padang jumpa rakyat, ini nak hubungi pun susah,” katanya.

Dalam ucapan dasar pagi tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menafikan cubaan pertama parti itu mengadakan pemilihan bagi kepimpinannya mempunyai kelemahan.

Namun begitu, beliau turut mendakwa pemilihan itu telah mencapai matlamatnya dengan lebih 70,000 anggota parti keluar mengundi pada pemilihan peringkat cabang dan pusat.

Beliau mengakui dalam proses pemilihan ini, kepimpinan parti itu banyak menerima aduan dan rungutan.

“Kita juga tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya. Kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakan-rakan kita sendiri,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditemui pada sidang media, Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin bahawa anggota parti itu akan mampu bersatu selepas pemilihan parti yang bermasalah dan menerima publisiti yang buruk.

“Kita yakin kita akan bersatu hari ini. Kita teruskan dengan pemilihan kerana kita tahu bahawa dalam mana-mana pertandingan, ada yang menang dan kalah.

“Jadi apapun keputusannya, kita mampu bersatu,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau menjawab soalan sama ada anggota parti akan merapatkan barisan berikutan pemilihan parti yang berakhir baru-baru ini yang dicemarkan dengan dakwaan mengenai manipulasi dan penyelewengan yang menyaksikan Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden berhubung penyelewengan dalam pencalonan.

Sejak itu Zaid mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan satu parti baru pada Januari tahun depan.

Wan Azizah berkata usaha sedang dilakukan bagi membetulkan keadaan itu.

Mengenai demonstrasi oleh beberapa anggota parti sebelum kongres itu bermula hari ini, Wan Azizah berkata sebelum ini rungutan kumpulan itu telahpun dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

“Ia mengambil sedikit masa. Saksi perlu dipanggil untuk memberi kenyataan dan proses itu mengambil masa,” katanya.

Kira-kira 100 orang yang mendakwa anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di depan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini di mana berlangsungnya Kongres Nasional Tahunan PKR hari ini.

Ia diketuai bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pemilihan PKR dari peringkat cabang hingga peringkat pimpinan pusat.

Kottapan, yang sebelum ini adalah calon Ketua Cabang PKR Kota Raja, mendakwa bahawa walaupun beberapa surat bantahan telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) namun tiada tindakan diambil.-TMI

27.11.10

Kongres Nasional PKR: Wan Azizah Tolak Syor Lantik Anwar Ketua Umum!


PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak cadangan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum parti itu.

Beliau menegaskan, hingga kini belum ada sebarang keperluan melantik suaminya dengan jawatan baru berkenaan.

Menurut beliau peranan yang dimainkan oleh Anwar sebagai penasihat PKR sudah memadai untuk menggerakkan pentadbiranparti."Buat masa ini tidak ada keperluan untuk lantik ke jawatan berkenaan.

"Sehingga kini pun beliau sudah menjalankan tugasnya sebagai Penasihat parti dengan baik, lantikan itu hanya sekadar jawatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR Ketujuh di sini, Sabtu.

Semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencadangkan agar parti melantik Anwar sebagai Ketua Umum.

Sehubungan itu Zuraida berkata pindaan serta-merta dalam Perlembagaan parti itu perlu dilakukan bagi merealisasikan kewujudan jawatan berkenaan.

Katanya, Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk memegang jawatan berkenaan kerana beliau terlibat sejak dari awal sejarah penubuhan PKR.

Selain itu, Wan Azizah menambah bahawa berdasarkan hirarki parti ketika ini, semua pemimpin sudah berada di tempat masing-masing.Mstar

24.11.10

Kempen Selamatkan Keadilan Bermula!!!!


Salam reformasi kepada semua pejuang-pejuang KEADILAN dan KETELUSAN, bagi kumpulan tertentu Pemilihan 2010 telah selesai bagi SJ pula belum lagi selagi KEADILAN dan KETELUSAN dalam pemilihan belum tertegak.. BATU SAPI, LIBARAN dan SANDAKAN perlukan KEADILAN!!

Bersempena dengan itu ayuh Anak Muda dan pencinta Keadilan kita bersama-sama kempen untuk Selamatkan Keadilan dari tangan-tangan yang tak guna dan mempunya cita-cita politik jahat.

Bermula dari hari ini hingga kemuncaknya hari kongres parti ayuh Ubah profile Picture Fb anda kepada ikon berbentuk 'Selamatkan Keadilan'.Contoh seperti dibawah :


SJ menyeru kepada semua yang merasakan sayang pada parti dan mahu prinsip yang kita perjuangkan tertegak ayuh bersama-sama Anak Muda Penerus perjuangan Reformasi untuk sama-sama menyatakan pendirian untuk 'Selamatkan Keadilan' dengan cara seperti berikut, pada hari Kongres nanti diminta kepada sesiapa yang ingin turut sama dalam kempen ini dengan memakai baju berwarna hiitam, arm band atau headband yang bertulisan "Selamatkan Keadilan'. Tolong sebarkan kepada kawan-kawan melalui SMS, Facebook, twitter, apa sahaja yang boleh menyampaikan maklumat ini. Segera bertindak agar prinsip yang selama ini yang kita pertahankan dan kita sampaikan pada rakyat tertegak kembali!!

ANAK MUDA MENDESAK PERUBAHAN!!!! - suarajohoronline

21.11.10

BONGKAR DAN PANAS : SIAPA AZMIN ALI?


Salah satu perkara yang amat saya takuti dan gerun dalam arena politik, apabila andai saya termasuk dalam kalangan boneka badut yang di permainkan dalam wayang yang saya tidak tahu akan jalan ceritanya. Tapi hakikatnya, itulah politik manusia. Cerita yang jauh menyimpang daripada siasah agama yang di tunjukkan oleh Baginda s.a.w..Mereka yang terlibat dengan politik manusia bercampur bisikan 'toyol' dan 'pontianak' berserta 'mak lampir' sebagai sandaran, tentu sekali boleh berubah dan menjelma dalam pelbagai keadaan.

Satu keadaan mereka boleh menjadi juara bagi pihak anda. Menangis dan berpenat lelah untuk anda. Namun ingat, segalanya boleh berubah andai apa yang di harapkan dan yang di susun dalam skrip tidak menepati jalan penceritaannya.

Dan juga tidak mustahil berlaku, mereka boleh mendampingi anda hingga cerita yang di susun tamat dan berjaya!

Rasanya tidak perlu di huraikan dan di bawa contoh manusia yang berlegar di kalangan politik Malaysia. Anda boleh saksikan. Samaada dalam UMNO mahupun PKR. Mungkin PAS tidak termasuk dalam skrip cerita 'pontianak' ini kerana dasarnya jauh berbeza dengan parti politik yang lain. Namun ia juga tidak mustahil boleh berlaku, kerana sehebat Ikhwanul Muslimin pun, menyusup juga 'syaitan berkulitkan malaikat' dalam perjuangannya!

Saya sekadar bawakan apa yang di ceritakan oleh Web Laman Marhaen tanpa tokok tambah. Malah saya tidak tahu sejauh mana kebenaran yang di nukilkan oleh penulisnya. Sekadar sebagai renungan dan maklumat untuk semua. Andai ia adalah maklumat yang salah, mereka-meraka yang terlibat perlu membela diri dan bawakan ia ke mahkamah sebagai cara 'pembersihan diri' yang terbaik di Malaysia.

Dan sekiranya, ia benar dan betul...anda juga yang dapat tentukan pengakhirannya macam mana!
......................................................................................................................................................................



Sekitar tahun 1996 Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah pergi bertemu Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (kini bergelar Tun). Berlangsunglah satu pertemuan ringkas di antara isteri Perdana Menteri Mahathir Mohamed dengan isteri Timbalan Perdana Menteri – Anwar Ibrahim.

Pertemuan antara seorang doktor pakar mata dengan doktor perubatan biasa itu tidak mengambil masa yang panjang untuk menyerlahkan agenda utamanya.

DSWA telah mengadap DS Dr. Hasmah Mohd Ali untuk meminta jasa baik beliau agar mempengaruhi suami beliau Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad menarik balik Azmin Ali daripada menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar Ibrahim.

Aduh, besar sungguh agenda pertemuan itu kerana sudah tentu ada sebab tertentu kenapa Wan Azizah mahukan Azmin dikeluarkan daripada pejabat suaminya.

Tentulah ketika itu belum terlintas lagi di kepala Wan Azizah bahawa satu ketika selepas itu Azmin Ali akan mengeluarkan surat akuan yang dia diliwat oleh Anwar Ibrahim.

Kenapakah Wan Azizah bertindak demikian? Apakah salah Azmin Ali? Adakah kerana Azmin menjalankan tugasnya dengan tekun sehinggakan Wan Azizah sukar menemui suaminya bila dia mahu?

Sebagai seorang isteri tentu Wan Azizah mempunyai sebab dan alasan besar kenapa dia mahu Azmin Ali disingkirkan daripada pejabat Anwar Ibrahim. Tidak mungkin dia bertindak demikian atas hasutan orang-orang tertentu yang mengatakan Azmin tidak baik. Wan Azizah bukannya calang-calang wanita. Beliau adalah seorang professional yang mendapat ijazah terbaik dan ‘citation’ di universitinya di luar negara.

Jawapan sebenar ialah kerana Wan Azizah sudah semakin resah kerana melihatkan pembabitan isteri Azmin Ali mendampingi Anwar Ibrahim.

Kalau ada gambar lama sekitar 1976-1977, lihatlah rakaman majlis yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim, kadangkala kita boleh lihat Shamsidar isteri Azmin Ali duduk di sebelah Anwar Ibrahim.

Pernah sebelum itu dan sekarang ini kita melihat isteri Setiausaha Sulit seseorang menteri duduk di sebelah menterinya? Kecuali si isteri itu terbabit dengan peranan besar dalam sesuatu majlis memang sukar kita melihat isteri si Setiausaha Sulit berbuat demikian.

Dengan lain perkataan, kehadiran Shamsidar, isteri Azmin Ali sudah menjadi duri dalam daging Wan Azizah. Ini juga merupakan punca keretakan rumah tangga mereka. Tetapi sebagai seorang isteri yang penuh bertaqwa, Wan Azizah memilih jalan senyap dan baik merayu kepada Dr. Siti Hasmah agar Azmin Ali ditukarkan daripada pejabat suaminya.

Kisah kehadiran Shamsidar di majlis yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim sudah menjadi satu cerita hangat yang dimainkan oleh media satu ketika dahulu gara-gara surat Umi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri yang menuduh Shamsidar melakukan kerja sumbang dengan Anwar Ibrahim. Daripada situ muncul satu teka-teki apakah anak Shamsidar itu sebenarnya berbapakan Anwar Ibrahim ataupun Azmin Ali.

Sudah tentu ini memerlukan ujian DNA yang akhirnya membuat keputusan bahawa anak perempuan itu memang sah anak Azmin Ali dan Shamsidar.

Soalnya sekarang bagaimanakah Anwar Ibrahim boleh merestui kehadiran Shamsidar dalam majlis yang dihadirinya? Apakah Anwar Ibrahim tidak ada pertimbangan bahawa insiden begitu akan membuat desas-desus dan teka-teki yang tidak ada putusnya? Ataupun mungkin Anwar Ibrahim sedar akan perkara itu dan tidak mahu perkara itu berulang lagi. Tetapi nampaknya permintaan Anwar Ibrahim itu diveto oleh Azmin Ali. Shamsidar tidak mungkin dapat menghadiri sesuatu majlis melibatkan Anwar tanpa restu dan izin Azmin Ali, suaminya.

Kisah Shamsidar dan Azmin Ali menjadi semakin bercelaru apabila Azmin membuat surat akuan (Affidavit) bahawa dia pun turut diliwat oleh Anwar Ibrahim. Ketika itu sudah muncul kisah Kasumatmaja, Azizan Abu Bakar dan Dr Anwar Anees.

Pada waktu yang sama pula gelombang pertama rakyat marhaen telah bergolak untuk melahirkan Parti Keadilan pimpinan Wan Azizah. Banyak nama lain yang muncul dengan gelombang itu – Ezam Mohd Nor, Lokman Adam, Roslan Kassim, Chandra Muzaffar, Mustaffa Kamil Ayub, Raja Petra, adalah sekadar segelintir nama yang menonjol. Tetapi yang amat besar peranan telah dilakukan oleh golongan elitis muda-mudi Malaysia tidak kira apa kaumnya serta beberapa pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) dan golongan veteran politik yang sudah lama bersara. Gabungan tiga golongan besar yang berbeza ini telah melahirkan satu gelombang marhaen yang bangkit memperjuangkan penderitaan “Anwar Ibrahim sekali gus melakar kejatuhan dinasti Mahathir Mohammad.

Saya ingin ulang sekali lagi, kejatuhan Anwar Ibrahim dalam PKR, jika berlaku, akan menghenyak sekali lagi Mahathir Mohamed. Kerana Azmin Ali adalah proksi Mahathir Mohamed dalam PKR.

Kita dapat lihat apa yang dibuat oleh Mahathir Mohamed sekarang ini. Dia banyak mengutuk kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu dan kini memuji kepimpinan Najib Tun Razak. Apa tujuannya yang sebenar? Saya berani berkata Mahathir mahu melihat anaknya naik mencanak dalam persada politik UMNO dan kalau boleh si anak itu boleh memegang jawatan Naib Presiden UMNO dalam masa terdekat.

Mahathir dapat melihat bahawa impian itu akan terkandas seandainya PKR menjadi kuat dan Anwar Ibrahim naik berkuasa sebagai Perdana Menteri. Kalau Anwar tidak menjadi Perdana Menteri pun besar kemungkinan Nurul Izzah akan naik menjadi Perdana Menteri. Mahathir dapat mencongak fenomena ini akan berlaku. Kalau sesiapa sahaja yang akan menjadi Perdana Menteri daripada parti bukan-UMNO, besar kemungkinan akan ditubuhkan sebuah jabatan di kementerian tertentu yang akan menyelidik dan menyemak balik segala salahlaku pemerintahan Mahathir.

Sebenarnya Mahathir memang banyak berdosa kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Sekarang ini kita dapat lihat Mahathir kadangkala berlagak laksana kera sumbang. Bayangkan seorang negarawan ulung boleh 'mencemar duli' merasmikan penubuhan PERKASA, sedangkan dia tahu PERKASA adalah alat dan wadah Ibrahim Ali mahu terus bernafas dalam arena politik. Bukankah UMNO ditubuhkan dahulu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu?

Ibrahim Ali memang beruntung kerana Mahathir kini sanggup mendampinginya. Dahulu, Mahathir pernah melantiknya sebagai Timbalan Menteri dan Pengerusi FAMA sebagai imbuhan agar Ibrahim Ali tidak menentang Mahathir ketika memecat Anwar Ibrahim. Selepas itu Ibrahim Ali dapat banyak kontrak lumayan seperti membina Jambatan Pasir Putih dan sebagainya. Semua itu sebagai upah agar Ibrahim Ali akur kepada bosnya.

Kini, Mahathir sudah tidak berpengaruh lagi. Dia berpaut kepada apa sahaja untuk terus timbul dalam dunia politiknya. Hanya masa yang akan menentukan apa jadi kepada aura Mahathir. Seperti yang disebut oleh Almarhum Fadhil Nor, dia mahu melihat Mahathir hidup lama untuk melihat segala kebobrokan pemerintahannya.

Memang sungguh dahsyat perangai manusia bernama Mahathir. Segala gerak politiknya dilakukan penuh teliti seolah-olah dia mempunyai satu panel penasihat yang pandai memanipulasi orang-orang Melayu. Ada pihak yang berkata panel penasihatnya dahulu datang daripada seberang laut. Ada pula pihak yang berkata Mahathir mempunyai penasihat yang merupakan anggota Freemason. Biarlah fakta ini biar di situ sehingga suatu masa ada pihak lain yang membuat kajian terperinci mengenainya.

Akan tetapi saya tidak akan memaafkan Mahathir kerana membiarkan Ananda Krishnan membeli hak milik filem-filem P. Ramlee kerana itu adalah khazanah bangsa. Kenapakah tidak dibiarkan FINAS membelinya? Saya juga tidak mahu memaafkan Mahathir kerana member Ananda Krishnan menguruskan satelit dan ASTRO sedangkan adalah lebih baik kalau dibiarkan Koperasi Angkatan Tentera mengendalikannya.

Banyak lagi kecurangan Mahathir terhadap orang Melayu. Biar generasi muda membuat kajian dan mendedahkannya.

Apabila diambil kira kecurangan Mahathir terhadap orang Melayu barulah kita sedar kenapa dia meletakkan Azmin Ali menjadi Setiausaha Sulit Anwar. Hinggalah Anwar dipecat kerana enggan mengeluarkan cek untuk menyelamatkan bisnes Mirzan Mahathir.

Sesungguhnya segala tindakan Anwar Ibrahim untuk menyanggah Mahathir Mohamed satu ketika dahulu dapat dihidu oleh Mahathir melalui Azmin Ali. Apa sahaja yang Anwar buat Mahathir sudah tahu terlebih dahulu.

Mahathir dapat bukti yang kukuh lengkap dengan rakaman kamera jarak jauh setiap pergerakan dan tindakan Anwar Ibrahim satu ketika dahulu, walaupun dia kerap berada di luar negara untuk melalak sebagai jaguh dunia ketiga.

Drama kejatuhan Anwar Ibrahim di mana Azmin Ali memainkan peranan besar adalah satu drama yang amat baik dijadikan epik filem Hindustan. Terlalu banyak sub-plotnya seperti peranan Umi Hafilda Ali yang terbang ke luar negara menghadiri ceramah Mahathir mengenai Anwar Ibrahim kepada rakyat Malaysia di luar Negara. Kemudian ada pula kisah Anwar yang terkena racun arsenik ketika dalam tahanan di penjara.

Begitu juga dengan penubuhan Keadilan yang banyak melibatkan peranan golongan muda seperti Ezam Mohd Nor, Roslan Kassim dan lain lagi. Tetapi ketika itu tidak pun tersebut peranan Azmin Ali. Malahan ketika Mahathir sudah jatuh dan muncul Abdullah Ahmad Badawi, segala urusan tolak-ansur untuk membebaskan Anwar Ibrahim telah dilaksanakan oleh Ezam Mohd Nor dengan Khairi Jamaluddin. Tidak pula disebut nama Azmin Ali ketika itu.

Sebagai kesimpulannya, peranan Azmin Ali untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim daripada tampuk kuasa dalam UMNO dalam kabinet Malaysia adalah amat besar. Ini disedari sendiri oleh Wan Azizah. Yang amat penting lagi, segala gelagat Azmin Ali sejak dahulu sehingga sekarang amat disedari oleh Nurul Izzah.

Kerana itu kita tahu, Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak merestui tindak-tanduk Azmin Ali terhadap Anwar Ibrahim. Adalah tidak menghairankan kenapa Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak memberikan sokongan terbuka kepada Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden PKR.

20.11.10

RAPAT UMUM PKR : MARI SAMA-SAMA MENGUTUK ZAID IBRAHIM!!(APE DAAA..)

Gambar: Pimpinan kanan PKR berbaris kutuk seorang manusia saja yang akan meninggalkan partinya bernama Zaid

SHAH ALAM, 20 Nov — Pemimpin kanan PKR malam tadi secara sebulat suara melepaskan ‘peluru kritikan’ terhadap Datuk Zaid Ibrahim habis-habisan sambil menyifatkan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu sebagai “kurang ajar” dan “pengkhianat” parti.

Ketikan berucap pada program Rapat Umum Keadilan Selangor Bersama Datuk Anwar Ibrahim di sini - kira-kira 12 jam selepas Zaid menetapkan tarikh muktamad keluar PKR, barisan pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan Zaid yang menggunakan akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia untuk menyerang pemimpin dan parti itu.

Malah majlis itu, yang diadakan seolah-olah untuk menjawab segala kecaman dan kritikan di sebalik isu Zaid keluar PKR, juga digunakan untuk melahirkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan ucapannya.

“Janganlah kita bercakap pada Utusan Malaysia. Munasabah atau tidak untuk bercakap hal rumah tangga kita kepada Utusan Malaysia?

“Tiada satu ahli dari PKR yang waras akan bercakap dengan Utusan Malaysia.

“Malah sejak parti ini ditubuhkan, tiada satu ahli pun yang bercakap dengan Utusan Malaysia yang selama ini mengecam kita,” kata Saifuddin ketika menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada pemimpin tertinggi, pemimpin peringkat negeri Selangor dan penyokong parti itu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut menyifatkan Zaid sebagai “kurang ajar” apabila menyerang dan mempertikaikan kredibiliti Anwar, penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Orang yang cintakan parti tidak akan mempertikai Ketua Umum (Anwar).

“Beliau telah dipukul, diaibkan dan dipenjarakan selama tujuh tahun kemudian keluar untuk kukuhkan parti, bina kekuatan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat malah dapat lima juta undi daripada rakyat.

“Pemimpin seperti ini (Zaid) kurang ajar, jangan biarkan... setuju atau tidak untuk bersama dengan beliau? “Beliau mahu keluar parti 16 Disember... sebab nak jelajah nak dapat sokongan,” katanya. Menurut Saifuddin, PKR akan menjadi sebuah parti terkuat di Malaysia.

“Pemimpin akan datang dan pergi tapi parti keramat akan terus bersama rakyat.

“Parti ini akan jadi parti terkuat di Malaysia,” katanya. Semalam, Zaid mengumumkan akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu.

Sementara itu, Azmin menggesa kepimpinan tertinggi PKR supaya mengambil tindakan tegas terhadap “pengkhianat” dan “Trojan Horse” yang wujud dalam parti itu.

“Saya rayu Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Timbalan Presien dan MPP (Majlis Pimpinan Pusat) supaya selesai Kongres PKR kepimpinan perlu tegas dan berani terhadap ‘Trojan Horse’ yang wujud dalam parti.

“Jangan tangguh atau bimbang dengan orang-orang seperti ini, kita bersama presiden jaga parti yang rakyat bina 12 tahun lalu.

“Yakin bila diserang kita akan bertambah kuat,” katanya. Tambah Azmin, PKR perlu membuktikan kepada semua bahawa parti itu bukan parti nyamuk ataupun parti serpihan sebaliknya adalah sebuah parti yang kukuh memperjuangkan hak rakyat.

“Seringkali parti diserang tapi saya yakin dan percaya apabila diserang maknanya kita kuat. “Kalau kita parti nyamuk atau parti serpihan tidak mungkin kita akan diserang,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata akan memberikan kerjasama kuat kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam usaha mempertahankan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya hari ini melahirkan kesetiaan dan komitmen untuk mempertahankan Menteri Besar. “Selama ini kita telah saksikan kejayaan di Selangor dan kita akan mempertahankan dasar-dasar yang dibawa kerajaan negeri.

“Selain itu kita juga mahu reformasi yang dibawa ini diteruskan ke Putrajaya,” kata Azmin. Bagi Syed Husin, keputusan untuk memboikot Utusan Malaysia adalah keputusan yang dicapai bersama parti komponen Pakatan Rakyat.

“Apa hendak kita gelarkan kepada seseorang yang menafikan keputusan Pakatan Rakyat memboikot Utusan Malaysia dan memburukkan parti?

“Jika orang ini hendak keluar... sila keluar. Jika orang ini nak gunakan tali gantung untuk gantung diri pastikan biar sampai mati,” katanya.

Sebelum ini, Zaid berkata tindakannya keluar PKR bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira 18 bulan lalu juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.

Zaid berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam Umno.

Menurutnya semasa dalam Umno beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Anwar.

Akhir 2008, Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru serta ketua Umno Kota Baru, dipecat daripada Umno kerana tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri majlis-majlis anjuran Pakatan Rakyat. -TMI

14.11.10

PERKHHH!!MAMAT NI GILA KONTROVERSI KE ATAU PUBLISITI??



sungguh!!saya agak pelik apa sebenarnya yang bermain di kepala 'hotak' Uncle 'hantu' ni!! Kalau ye pun bercinta dengan Mantan Permaisuri Agong Aisyah, takkan benda-benda 'dalam' pun nak cerita kat dalam blog..perkhhh!!!gila publisiti ke mamat ni!!

Bagi saya benda biasa kalau Mantan Permaisuri Agong untuk jatuh cinta buat kali kedua atau keseratus kali pon.Dia tetap manusia biasa hingga ke akhir hayat walau pernah menyandang dan memegang 'title' tertinggi dalam negara kita. Dan dia juga tetap tidak akan terlepas untuk melakukan kesalahan samaada secara sembunyi atau 'jahar'.

Perkara itu biasa dan lumrah..

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Mantan Permaisuri Agong boleh jatuh 'cintan' dengan Mamat Seekers ni. Itu hak dia.

Yang saya pelik dan ajaib, kenapa Mamat Seekers ni mendedahkan benda aib dia dan Siti Aisyah di khalayak umum? Bayangkan sampai SMS pun pegi dedahkan dalam blog!!Gila ke 'hape'!!


Tak cukup dengan publisiti, kontroversi dan 'ti ti' yang lalu, si Mamat ni nak apa sebenarnya??hadoiiiiii laaa...

Tak kan nak jadi macam ZAM juga kot!!huhuhu..

12.11.10

'PARTI KEADILAN BARU' AKAN DI TUBUHKAN TIDAK LAMA LAGI??


SUNGAI PETANI 11 Nov. - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim akan menubuhkan parti politik baru sekiranya dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan PKR.

Beliau berkata, parti yang mungkin dinamakan 'Keadilan Baru' itu akan diwujudkan bagi meneruskan perjuangan jangka panjangnya iaitu melakukan transformasi politik di negara ini.

"Kalau mereka pecat saya, maka saya kena buat (parti) Keadilan Baru. Takkanlah saya nak pencen dan balik nak jadi peguam, tua dah tak boleh.

"Saya akan teruskan perjuangan. Saya percaya dapat melakukan transformasi politik dengan cara begini.

"Apa yang saya cuba lakukan mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi ia memang menjadi hasrat saya dari awal," katanya pada majlis dialog bersama lebih 100 ahli PKR dari kawasan Kedah Tengah di Pejabat PKR Taman Intan di sini malam tadi.

Bekas calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diajukan soalan oleh salah seorang ahli parti tentang rancangannya sekiranya dikenakan tindakan pecat daripada PKR.

Menurut Zaid, adalah tidak menjadi satu masalah baginya jika dikenakan tindakan atas alasan mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Azmin Ali berundur.

Ini kerana, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk mewujudkan sistem politik bersih dalam PKR, tetapi tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan.

"Saya tinggalkan UMNO, saya lepaskan jawatan Menteri Kabinet, saya tinggalkan syarikat guaman yang paling berjaya. Saya sudah korbankan segalanya.

"Saya mempunyai visi untuk membetulkan keadaan dan mahu menjadikan sistem politik di negara ini lebih telus. Itulah harapan saya. Malangnya, dalam PKR tidak berlaku perkara begitu," katanya.

Ditanya adakah masalah yang berlaku dalam PKR tersebut pernah dibincangkan secara dalaman, Zaid berkata, beliau pernah menjalankan sesi tegur menegur dalam biro politik.

Di KOTA BHARU Zaid menganggap Anwar sebagai orang yang 'takut dengan bayang-bayang' sendiri sehingga sanggup mereka-reka cerita dan menyerang individu yang cuba menghalang anak emasnya, Azmin Ali daripada menggenggam jawatan nombor dua parti itu.

Kata Zaid, beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan Anwar sebelum ini tetapi sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, Anwar tiba-tiba sahaja menyerangnya secara peribadi termasuk dituduh sebagai ejen UMNO.

11.11.10

SIAPA SURUH HANGPA CARI PASAI SANGAT DENGAN MB KEDAH..TAK PASAI-PASAI KENA 'FLYING KICK'!!HAHAHA..

AMACAM??SEKALI LAGI PELAJAR DEKAT MALAYSIA PECAH REKOD!!


sumber

Terengganu Pecah rekod lagi! Tahniah Datuk Mat Said kerana dapat ‘cucu baru’. Ini rekod Malaysia atau mungkin di dunia untuk tahun ini? Sejak UMNO-BN kembali berkuasa di Terengganu ini, macam-macam benda ajaib berlaku. Sejak slogan “ kemajuan yang tak pernah kelihatan” ini ditaja, pelbagailah yang tak pernah terjadi sebelum ini, terjadi di Terengganu.

Sebelum ini 4 remaja lahirkan anak dan 16 yang lain mengandung dalam 1 sekolah di Kuala Terangganu pada tahun ini.. Difahamkan pelajar perempuan berkenaan yang terjebak dengan gejala sosial belajar di tingkatan tiga dan enam melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak April tahun lalu. Dalam kes terbaru, seorang pelajar tingkatan tiga pula melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu. Harian Metro difahamkan 16 lagi pelajar perempuan sekolah itu kini disahkan mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki termasuk rakan sekelas mereka.

Pelajar tingkatan 3 juga pernah memalukan daerah Dungun kerana membuang anak ke dalam tandas ketika baru dilahirkan. Bahkan sudah menular di kebanyakan sekolah-sekolah menengah. Di harapkan agar pihak JPN atau PPD menganjurkan pertandingan dan menyediakan anugerah Sekolah yang terbanyak melahirkan anak luar nikah!!

Kini bala itu menular lagi dan semakin membarah. Yang terkini dan paling mengejutkan bagaimana seorang pelajar di sebuah sekolah rendah di Daerah Dungun melahirkan anak luar nikah dengan pasangan dari kalangan keluarganya sendiri sedangkan beliau baru berusia 12 tahun! Pelajar sekolah rendah yang baru nak mengambil UPSR. Pelajar tersebut dikatakan mengambil peperiksaan UPSR baru-baru ini dihospital. Rasanya Datuk Mat Said boleh mohon Malaysia Book of Records bagi mnyenaraikan Malaysia Boleh. Terengganu Boleh. Kita memecah rekord ibu termuda di Malaysia!.

Itu belum ajar pendidikan reproduksi (seks) ke sekolah-sekolah tu!.. kalau start ajar nanti bertambah alim le... bertambah le praktikal. Makin ramai le anak 1 Malaysia!!!

Alahai! Apa nak jadi ni Datuk Mat Said??? Janganlah dok sibuk berebut jawatan pengerusi Perhubungan UMNO terlupa masalah rakyat? Rakyat dah bagi amanah tu.. janganlah para YB dok sibuk berbalah terlupa nak jaga amanah pulak! -

9.11.10

ANTARA KURANG AJAR ATAU JAHIL??TERUK DAHHH MALAYSIA NII..!!


Bermula dari sesi pengenalan peserta Mari Menari (MM) lagi, Dita yang baru saja tersingkir pada minggu ke-3 MM telah dihambat dengan pelbagai isu panas terutama sekali isu berkaitan tudung. Isu ini dianggap berat kerana Dita atau nama sebenarnya Rudita Mohd Yusop telah berstatus sebagai seorang ibu kepada 5 orang anak.


Menjawab segala pertanyaan berkaitan isu yang berbangkit ini, Dita yang ditemani suaminya Mohamad Faidzal, 42, seakan sudah bersedia bagi menjelaskan isu tersebut. "Sebenarnya, saya memang seorang wanita yang bertudung. Terus-terang, saya buka tudung pun atas kerelaan saya sendiri tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa. Masa saya pergi ke uji bakat, saya masih lagi bertudung. Pun begitu, selepas berbincang dengan suami dan kerana tidak mahu mengecewakan hasrat anak yang mahu kami beraksi dalam MM , saya pun telah bersetuju untuk buka tudung".

Dia tidak kisah apa orang nak nilai dan kata tentang dirinya. Malah, dia mendakwa orang bertudung tidak semestinya mempunyai perilaku yang baik hati budi. "Saya bukan nak riak atau nak cakap saya ni baik. Hakikatnya, orang yang tak tinggal solat 5 waktu pun belum sah dapat masuk syurga. Sesungguhnya bagi saya, siapalah kita sebagai manusia biasa untuk menghukum atau menilai seseorang berdasarkan luaran saja".

"Apapun, kami masuk MM bukannya nak menang semata. Cukuplah sekadar dapat menunaikan impian anak kami yang mahu melihat ibu bapa mereka masuk TV". Menyokong pendapat isterinya itu, Faidzal yang bertugas sebagai bodyguard VVIP mengambil jalan selamat dengan mendiamkan diri.

"Hal bertudung ini susah nak dibahaskan. Semua terletak atas individu itu sendiri. Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apatah lagi mengulasnya dengan lebih terperinci. Namun, saya hanya boleh kategori apa yang dilakukan isteri saya ini adalah pengorbanan dari seorang ibu untuk anak-anak".

Dita menegaskan bahawa selepas ini dia akan kembali bertudung seperti biasa. "Saya akan berimej seperti dulu. Saya buka tudung pun kerana masuk pertandingan sahaja. Sejujurnya, mak mentua saya seorang yang alim. Dia tak ada pula marah dengan tindakan saya"

8.11.10

[PANAS] Pemimpin MCA Kata "Tuhan Perintahkan Orang Kristian Tentang Negara Islam"!!



HarakahDaily (Ing) melaporkan bahawa bekas ADUN MCA Subang Jaya, Lee Hwa Beng telah menulis dalam Twitternya bahawa negara Islam seperti dicanangkan oleh PAS akan mengharamkan semua agama.

Katanya, "Sebagai penganut Kristian, kita seharusnya takut akan negara Islam daripada perkara yang lain. Mengapa DAP menolong PAS mencapai tujuan itu." soal Lee kepada penyokong DAP dalam laman sosial itu.

Bekas ADUN itu menambahkan kejahilannya dengan menyatakan bahawa agama selain Islam tidak akan diberi tolak ansur di bawah negara Islam tersebut, sambil menambah undang-undang Islam akan dilaksanakan terhadap orang bukan Islam.


Atas alasan itu, Lee menulis di Twitternya dengan mengatakan "Salah satu Perintah Tuhan ialah menentang negara Islam." Dia menambah dengan menegaskan bahawa UMNO tidak berhasrat menubuhkan negara Islam seperti yang diimpikan oleh PAS.


Apabila menyedari keceluparan tulisannya, Lee dengan pantas menyatakan bahawa kenyataan itu merupakan pendapat peribadinya. Dia menegaskan bahawa "Saya tidak pernah mengatakan bahawa saya menentang Islam. Malah saya menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini."

Tulisan bekas ADUN MCA ini jelas merupakan suatu hasutan untuk memecahbelahkan antara penganut Kristian dengan Islam yang selama ini hidup harmoni di negara ini.Kenyataan bahawa Tuhan memerintahkan orang Kristian menentang negara Islam juga suatu penyelewengan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penganut agama itu.

Justeru, saya menyeru pihak berkuasa menyiasat hal ini, dan tindakan segera perlu dikenakan terhadap pemimpin ini yang bukan sahaja boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama, malah menghina dan menfitnah Islam sebagai sebuah agama yang menyeru ke arah perdamaian dan keharmonian.

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam menjaga kepentingan semua pihak, malah tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama lain mempraktiskan agama mereka. Usahlah menilai Islam hanya berdasarkan perilaku beberapa diktator yang menggunakan agama untuk tujuan peribadi dan sebagainya.

PANAS :ZAID BERUNDUR..PKR DI AMBANG KEHANCURAN??


[TMI] KUALA LUMPUR, 8 Nov - Sambil mendakwa sudah tidak lagi diperlukan oleh kepimpinan parti, Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menghantar notis rasmi memaklumkan yang beliau sudah pun menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

“Mengapa harus saya berbuat demikian? Saya sudah pun membuat pengumuman dalam blog saya. Itu sudah cukup bagus.

“Jika saya tidak menghantar notis (rasmi), apa yang mereka akan lakukan,” tanya Zaid ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
.........
Saifuddin menjelaskan, Zaid perlu menghantar notis rasmi kepada parti berhubung perkara tersebut.

Katanya, parti tiada rancangan untuk mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan keputusan Zaid menarik diri daripada bertanding ataupun dakwaannya bahawa wujud manipulasi dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Awal pagi tadi, Zaid berkata, beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” katanya.

Dalam komen susulan tengah hari ini, Zaid berkata, beliau tidak mahu menulis kepada parti mengenai keputusannya memandangkan aduan-aduan sebelum ini mengenai kecacatan proses pemilihan tidak diambil tindakan.

“Apabila saya menulis kepada mereka mengenai kecacatan dalam pemilihan, adakah mereka respons kepada saya?

“Saya sudah pun membuat aduan saya, tetapi mereka tidak bertindak ke atas aduan itu.

“Jadi, mengapa perlu saya membalas kepada mereka sekarang? Mereka boleh bermain mengikut apa jua cara yang mereka suka,” kata beliau yang sejak Julai lalu diberi tanggungjawab mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Zaid menambah, dari awal lagi beliau sudah pun mengemukakan aduan kepada parti menggesa kepimpinan menghentikan kelemahan dan kekurangan yang dikesan dalam proses pemilihan.

“Bermula dari hari pertama, saya mengatakan kita harus menghentikan ini. Jadi, bukannya saya tidak mengatakan apa-apa langsung.

“Walaupun saya mendahului saingan, saya masih mahukan perkara ini dihentikan.

“Saya tidak mahu menang dalam saingan macam ini,” kata Zaid yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik, kedua-dua jawatan turut dilepaskannya hari ini.

Zaid mengakui keputusannya itu meletakkan para penyokong beliau dalam kekecewaan termasuk dirinya sendiri kecewa dengan apa yang berlaku.

Zaid juga menekankan bahawa mereka dalam saingan jawatan itu akan mendakwa beliau sudah “merajuk” kerana bukan lagi mendahului saingan.

Beliau berada di depan selama dua hari pertama pemilihan pusat, tetapi dipotong Azmin Ali pada hari ketiga dan seterusnya sehingga sekarang.

“Jika saya kalah kemudian, mereka akan mengatakan sesuatu. Jika saya menang (pun), mereka akan kata sesuatu.

“Kita tidak boleh menghalang orang daripada membuat spekulasi, membentuk pendapat mereka mengenai saya. Apa saya boleh buat?,” katanya.

Zaid juga berkata, beliau tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai isu ini sambil berharap keputusannya akan diterima dan membiarkan beliau.

“Saya merasakan sudah cukup banyak diperkatakan, tiada apa-apa yang hendak dikatakan lagi,” kata beliau dalam nada ‘suram’.

“Saya tidak fikir sesiapa mahukan saya sekarang,” kata Zaid sambil menegaskan, beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR - komponen Pakatan Rakyat.

“Saya akan kekal (dalam parti). Itu yang boleh saya lakukan buat masa sekarang,” katanya yang mewakili PKR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Zaid juga merupakan penyelaras Pakatan Rakyat.

1.11.10

PANAS!! : DR. MAZA MINTA DS ANWAR IBRAHIM BERUNDUR!!..TAPI DR MAZA TAK NAK KE MASUK POLITIK??


KUALA LUMPUR, 1 Nov — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan ahli politik veteran termasuk Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersara dari politik dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin lain untuk memberi “nafas baru” atas alasan banyak “rentak tari politiknya makin tidak seimbang.”

Di samping itu kata beliau, Pakatan Rakyat juga perlu melakukan pembaharuan untuk menjadi pembangkang yang kuat dan berkualiti.

“Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar, sudah sampai masanya untuk bersara ‘politik’,” kata bekas mufti Perlis ini yang kini dilihat sebagai “penggerak ketiga” dalam arena politik semasa.

“Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak ‘seimbang’,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Asri berkata zaman Anwar, yang juga Penasihat PKR, mungkin makin menyusur pergi.

“Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama,” kata Asri lagi.

PKR ditubuhkan selepas Anwar dimasukkan ke penjara dan dipecat daripada jawatan kerajaan dan Umno.

Malah menurut beliau, Anwar perlu diberikan peluang untuk berundur dengan aman demi untuk mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan.

“Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi.

“Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar,” kata tokoh agama ini.

“Maaf atas pandangan ini,” kata Asri sambil menambah, beliau tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan ini.

“Saya tahu sesetengah pembangkang cepat ‘melenting’ jika ada pandangan yang mereka tidak setuju.

“Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik,” kata Asri dalam pandangan ini ketika parti itu sedang melangsungkan pemilihan pucuk kepimpinan.

Pertengahan tahun lalu, Asri pernah dilaporkan akan menyertai Umno tetapi beliau menafikannya dengan menegaskan akan kekal seperti sekarang.

Selain itu, PKR mewakili Pakatan Rakyat menurunkan calonnya di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Asri juga berkata, politik negara ini juga memerlukan nafas baru tidak kira parti politik.

“Seperti mana Umno memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama.

“Saya, seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti,” katanya sambil menambah, “sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini.”

Oleh itu kata Asri, jangan lupa bahawa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen.

“Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara,” katanya.

Malah menurut beliau, negara perlukan politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara.

“Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat.

“Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi,” katanya.

Justeru, katanya, politik negara memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas.

“Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-amanah (amanah).

“Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh.

“Maka, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat,” katanya sambil menambah, sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan.

“Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini.

“Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat.

“Jika Tun Abdullah (Ahmad Badawi) pun bersara, makin mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara. Kata-kata (penganalisis politik) Prof A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula,” katanya. -TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...