JAKARTA - Seorang pemandu bas bersama 33 penumpang lain
mengalami peristiwa aneh apabila bas yang dinaiki mereka secara
tiba-tiba berada di tengah-tengah hutan walaupun pada mulanya berada di
atas jalan raya.
Dalam kejadian tersebut, bas milik syarikat
Pahala Kencana yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Madura, pada
mulanya menggunakan jalan Juwana-Rembang sebelum pemandunya beralih ke
jalan alternatif.
Namun ketika menyusuri jalan Jaken di wilayah
Jati, bas tersebut secara tiba-tiba berada di hutan Gadogan yang
terletak di Jawa Tengah. Pemandu bas tersebut cuba untuk bergerak ke
depan dan ke belakang, namun gagal disebabkan pokok jati menghalang
pergerakan kenderaan itu.
Selepas menyedari bas itu terperangkap
di tengah-tengah hutan, pemandu itu kemudian meminta pertolongan
daripada penduduk di kawasan terbabit.
Namun, kereta peronda polis tidak dapat memasuki lokasi kejadian disebabkan tiada jalan yang menghubungkan tempat tersebut.
Selepas
lima jam tersadai, sekumpulan mekanik syarikat Pahala Kencana berjaya
mengeluarkan bas tersebut selepas memotong pokok-pokok yang menghalang
laluan kenderaan itu.
Pegawai polis yang ditemui, Briptu Suwignyo
mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, badan bas itu tidak
mempunyai kesan calar atau rosak akibat melanggar pokok di hutan
terbabit.
Namun, jelasnya, ia bukan kejadian kali pertama kerana
sebelum ini dua trak minyak pernah mengalami nasib yang sama dan ia
dipercayai berkaitan gangguan makhluk halus.
"Kawasan hutan ini sering dijadikan pihak tertentu melakukan amalan syirik dengan harapan menjadi kaya dengan cepat.
"Oleh
itu tidak hairan orang yang melalui jalan di sini sering diganggu
makhluk halus yang dipuja golongan tidak bertanggungjawab itu," katanya
kepada Tribunnews.com. - AGENSI - Utusan